Friday, 8 July 2011

Pemuda Umno Teruskan Perhimpunan


Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia akan tetap meneruskan perhimpunan mereka pada Sabtu biarpun polis telah memberi amaran akan menahan mereka yang menyertai sebarang perhimpunan di Kuala Lumpur.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Himpunan Patriot akan diadakan di Jalan Bukit Bintang pada pukul 10 pagi.

"Ini adalah hak kita untuk berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita akan terima apa sahaj tindakan yang akan dikenakan kepada kita," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra pada, Jumaat.

Beliau berkata pihaknya akan berarak daripada Jalan Bukit Bintang ke Stadium Merdeka.

"Kita akan cuba mencari jalan untuk berkumpul di Stadium Merdeka. Kita telah lebih awal memohon untuk menggunakan Stadium Merdeka sebagai tempat himpunan kita.

"Petang ini sekali lagi kita akan buat permohonan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk dapatkan permit berkumpul di Stadium Merdeka esok," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Pemuda Umno telah memohon permit polis pada 24 Jun yang lalu bagaimanapun pihak polis telah menolaknya pada 6 Julai.

Monday, 4 July 2011

Sidang Akbar Perhimpunan PATRIOT Menyelamatkan Nagara


PATRIOT menjunjung Titah Khas Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dimana apa juga tuntutan demokrasi dalam usaha menyuburkan demokrasi tidak akan membawa kemusnahan kepada Negara dan tidak terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, PATRIOT akan patuh dan mentaati Titah Khas tersebut dan mendesak kepada penganjur Perhimpunan Haram turut sama mentaatinya.

PATRIOT diwujudkan untuk menzahirkan seramai mungkin majority senyap rakyat Malaysia yang menentang sebarang gerakan yang boleh menjerumuskan Negara dalam keadaan anarki, menjejaskan nama baik Negara, mendatangkan kerugian kepada rakyat dan merosakkan ekonomi Negara.

Kita akan akur dengan Titah Khas Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, tetapi kami member amaran sekiranya Ambiga ingkar terhadap Titah ini dan meneruskan Perhimpunan Hara mini, kami tidak akan teragak agak untuk mengumpulkan seramai mungkin PATRIOT bagi berhadapan dengan Ambiga dan konco-konconya yang secara terang-terang tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu dan menderhaka Titah Tuanku.

PATRIOT juga mendesak pihak Polis agar tidak teragak-agak lagi menahan sesiapa sahaja yang ingkar dengan Titah Khas Tuanku ini. Sekiranya pihak Polis gagal bertindak, pihak Tentera juga tidak bertindak, maka jangan salahkan rakyat yang setia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertindak membela tanahair yang tercinta ini.

Thursday, 30 June 2011

Najib: Demonstrasi Jalanan Umno Pun Mampu Kerah 3 Juta Ahlinya

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno, jika ia mahu, mampu mengerahkan tiga juta anggotanya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, parti tidak akan berbuat demikian kerana ia bukannya cara yang bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian.

“Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)…kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan… tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab,” katanya.

Perdana menteri menegaskan demikian semasa berucap kepada kira-kira 15,000 hadirin yang menyambut kunjungan beliau di pekan pesisir pantai ini, kira-kira 150km ke selatan Kota Kinabalu hari ini.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mahukan kekerasan kerana menurutnya, “itu bukan cara kita selesaikan masalah di bumi Malaysia ini”.

Menurutnya pilihan raya sentiasa diadakan di Malaysia apabila tiba waktunya dan semua pihak boleh ambil bahagian semasa kempen.

“Kita ada pilihan raya… nak kempen, kempen lah, nak berucap sampai tak larat lagi nak cakap, buatlah, nak bertempek pun, tempeklah,” kata Najib yang sebelum itu berkunjung ke daerah pedalaman Tenom, di barat daya Sabah.

“Mereka kata bersih… belum tahu dia bersih. Dia (pembangkang) pun ada banyak masalah,” kata Najib.

Perdana menteri menegaskan Malaysia bukannya seperti negara tertentu di mana pemerintahnya menang 95 peratus undi semasa pilihan raya yang pastinya banyak pihak yang mencurigai keputusan pilihan raya.

“Di Malaysia tidak pernah berlaku seperti itu. Kita menang sebab rakyat support (sokong). Saya tak rela jadi perdana menteri atas penipuan. Saya nak jadi perdana menteri kerana rakyat sukakan kita (BN) dan rakyat percaya dan senang dengan BN,” katanya.

Atas kepercayaan rakyat terhadap BN, kata beliau, kerajaan akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk perjuangkan nasib rakyat.

Najib berkata Malaysia kini berada di ambang transformasi ke arah menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera dengan pelan pembangunan yang jelas dan hanya menunggu masa untuk melaksanakannya.

“Tetapi apakah ini harus dikorbankan semata-mata kerana hawa nafsu sesetengah pihak yang nak kejar jawatan perdana menteri, hendak menguasai Putrajaya?” katanya.

Najib mengingatkan bahawa demonstrasi jalanan seperti dirancang pada 9 Julai boleh membawa kecelakaan dengan sekelip mata, lebih-lebih lagi apabila pihak tertentu membakar emosi dan perasaan orang ramai.

Katanya jika ada pihak yang menjadi “tukang kipas, tukang bakar” emosi semasa perhimpunan haram itu, golongan yang bakal menjadi mangsa adalah juga “rakan kita, keluarga kita”.

Beliau berkata apabila berlaku “psikologi samseng”, orang yang baik akan tiba-tiba bertukar menjadi ganas dan tidak boleh dikawal sehingga tidak kira harta benda atau nyawa orang lain terancam.

Perdana menteri seterusnya menegaskan pentingnya gagasan 1Malaysia dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia agar ia bukan sekadar menjadi slogan yang menjadi sebutan atau paparan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan sehingga menjadi nilai pegangan, sikap dan cara pemikiran rakyat Malaysia.

Katanya, beliau mendapati keharmonian yang wujud di Sabah merupakan contoh terbaik konsep 1Malaysia bagi membolehkan rakyat pelbagai kaum hidup aman damai tanpa sebarang tembok pemisah.

Di majlis itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk membina semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dan peruntukan RM2.7 juta untuk memperbaiki bumbung Esplanade Sipitang yang sebelum in sering mengalami kerosakan akibat ditiup angin kencang.

Hadir sama ialah ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan beberapa wakil rakyat tempatan parti komponen BN.

- Bernama

Exco Pemuda Umno Buat Laporan Terhadap Saifuddin

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno pada Khamis membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail atas dakwaan memfitnah seorang exco ingin membakar ibu pejabat parti itu.

Exco Pemuda Umno, Lokman Nor Adam membuat laporan tersebut di balai polis Tropicana bersebelahan ibu pejabat PKR.

Dalam laporannya, Lokman mendakwa Saifuddin telah memfitnahnya mahu membakar ibu pejabat PKR, Selasa lepas.

Beliau juga mendakwa Saifuddin turut memfitnahnya mahu mengugut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Datuk S. Ambiga sekiranya perhimpunan itu diteruskan pada 9 Julai ini.

Lokman yang memakai kemeja-T berwarna merah tiba di balai polis Troicana pada pukul 12.5o tengah hari. Beliau diiringi kira-kira 30 ahli Umno dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

Lokman bersama Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican masuk membuat laporan.

Terdahulu, beberapa ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersorak dan membuat kecoh di hadapan balai polis berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan tersebut, Lokman berkata, beliau akan memfailkan saman bernilai RM500,000.99 terhadap Saifuddin.

Jelasnya, saman tersebut adalah kerana setiausaha agung PKR itu telah menyusahkannya.

Lokman turut mencabar Saifuddin supaya menunjukkan pita video yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan mahu membakar bangunan PKR.

Wednesday, 29 June 2011

Pembangkang dukung amalan subversif

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pihak pembangkang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas serta Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan secara jelas mendukung amalan subversif dan anarki dengan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini terbukti apabila 79 ahli Parlimen pembangkang tidak pernah mengusulkan pindaan terhadap Akta Pilihan Raya walaupun mereka memenangi kerusi masing-masing sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Walhal katanya, kesemua wakil rakyat pembangkang boleh mengusulkan sebarang ketidakpuasan hati berkenaan sistem pilihan raya negara sewaktu bersidang dalam Dewan Rakyat selama lebih dua tahun dan bukannya melalui perhimpunan haram di jalanan.

"Siapa pula Ambiga? Kenapa dia sibuk nak mengadakan perhimpunan haram kononnya untuk membersihkan proses pilihan raya kita sedangkan dia mempunyai banyak ruang untuk mengadakan forum seumpama itu sewaktu menjadi Presiden Majlis Peguam.

"Kalau kita perhatikan betul-betul, Ambiga sewaktu mengetuai Majlis Peguam hanya berminat untuk mengadakan forum bagi mempersoalkan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan kini baru sibuk tentang pilihan raya," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini ketika dihubungi di sini hari ini.

Ramai pemimpin pembangkang daripada PKR, Pas dan DAP bertindak sebagai ahli jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang diketuai Ambiga.

Reezal Merican menambah, sokongan pembangkang terhadap pergerakan subversif yang menuju kepada anarki terbukti dengan penangkapan 31 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj di Pulau Pinang Sabtu lalu yang disyaki cuba menghidupkan komunisme.

"Jeyakumar adalah wakil rakyat PSM yang bertanding di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu, jadi perkaitan antara komunisme, PSM, PKR serta Ambiga adalah amat jelas di sini dan sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada PKR mengenai perkara itu," tegasnya.

Di samping itu katanya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin jelas menyokong pergerakan subversif serta berniat menghuru-harakan negara dengan meracuni fikiran rakyat supaya turun menyertai demonstrasi jalanan tersebut.

Video PATRIOT Gegar Ibu Pejabat PKR

Monday, 27 June 2011

SMS Ugutan Bunuh KJ, Pemuda Umno Kepung PKR


Sekitar 800 anggota Pemuda Umno yang bermotosikal mengepung ibu pejabat PKR di sini lewat malam tadi, dilihat sebagai satu tindakan amaran menjelang Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, susulan SMS ugutan bunuh diterima ketua mereka Khairy Jamaluddin.

Mereka tiba di blok pejabat di Tropicana di sini, beberapa pintu dari balai polis, mendakwa ugutan bunuh diterima Khairy kelmarin, datang daripada parti pembangkang itu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu membantah dakwaan tersebut.

Ahli jawatankuasa Pemuda Umno Lokman Noor Adam mendakwa dia mengetuai kumpulan 800 ahlinya sekitar pukul 10.30 malam tadi, menghalang laluan di depan ibu pejabat PKR dengan membuat laungan kuat.

Kata beliau, tindakan ahli-ahli Pemuda Umno dari Selangor dan Kuala Lumpur adalah untuk menghantar “mesej yang jelas kepada PKR bahawa kami tidak takut dan kami bersedia untuk berhadapan dengan mereka lebih awal.”

Khairy, yang kini berada di luar negara berkata, beliau menerima ugutan bunuh menerusi SMS kelmarin, meminta pihaknya membatalkan perhimpunan balas yang hendak diadakan menentang Himpunan Bersih 2.0.

Tindakan Pemuda Umno ini diadakan beberapa jam selepas wakil Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa dipanggil polis berhubung perhimpunan mereka bulan depan.

Bagaimanapun Lokman memberitahu bahawa dia tidak mengugut PKR dengan kasar.

“Kami telah memberi arahan keras bukan nak bakar ibu pejabat mereka. Kami bukan macam mereka,” katanya.