Wednesday 29 June 2011

Pembangkang dukung amalan subversif

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pihak pembangkang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas serta Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan secara jelas mendukung amalan subversif dan anarki dengan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini terbukti apabila 79 ahli Parlimen pembangkang tidak pernah mengusulkan pindaan terhadap Akta Pilihan Raya walaupun mereka memenangi kerusi masing-masing sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Walhal katanya, kesemua wakil rakyat pembangkang boleh mengusulkan sebarang ketidakpuasan hati berkenaan sistem pilihan raya negara sewaktu bersidang dalam Dewan Rakyat selama lebih dua tahun dan bukannya melalui perhimpunan haram di jalanan.

"Siapa pula Ambiga? Kenapa dia sibuk nak mengadakan perhimpunan haram kononnya untuk membersihkan proses pilihan raya kita sedangkan dia mempunyai banyak ruang untuk mengadakan forum seumpama itu sewaktu menjadi Presiden Majlis Peguam.

"Kalau kita perhatikan betul-betul, Ambiga sewaktu mengetuai Majlis Peguam hanya berminat untuk mengadakan forum bagi mempersoalkan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan kini baru sibuk tentang pilihan raya," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini ketika dihubungi di sini hari ini.

Ramai pemimpin pembangkang daripada PKR, Pas dan DAP bertindak sebagai ahli jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang diketuai Ambiga.

Reezal Merican menambah, sokongan pembangkang terhadap pergerakan subversif yang menuju kepada anarki terbukti dengan penangkapan 31 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj di Pulau Pinang Sabtu lalu yang disyaki cuba menghidupkan komunisme.

"Jeyakumar adalah wakil rakyat PSM yang bertanding di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu, jadi perkaitan antara komunisme, PSM, PKR serta Ambiga adalah amat jelas di sini dan sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada PKR mengenai perkara itu," tegasnya.

Di samping itu katanya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin jelas menyokong pergerakan subversif serta berniat menghuru-harakan negara dengan meracuni fikiran rakyat supaya turun menyertai demonstrasi jalanan tersebut.

No comments:

Post a Comment