Monday 27 June 2011

Pemuda lancar Himpunan Patriot


Pergerakan Pemuda UMNO hari ini melancarkan Himpunan Patriot (Patriot) yang merupakan perhimpunan membantah perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Patriot melambangkan satu kumpulan anak-anak muda yang cintakan tanah air dan sanggup menggadai apa sekalipun demi menyelamatkan tanah air daripada kumpulan perosak.

Menurut beliau, Patriot dianggotai seramai 10 ahli jawatankuasa yang diketuai Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selaku pengerusi himpunan.

‘‘Kita akan turun dan tentang perhimpunan itu habis-habisan. Mereka pengkhianat, kita tahu niat mereka sebenar. Sebab itu, adakah kami anak-anak muda ini perlu tunggu lagi? Kalau kita tunggu kita juga akan jadi pengkhianat.

‘‘Kita yang akan turun pada 9 Julai itu bagi menjadi suara kumpulan majoriti senyap selain pemuda, wanita dan mewakili seluruh rakyat demi mendokong proses demokrasi dan hak rakyat sejak zaman merdeka,’’ katanya pada sidang akhbar Himpunan Patriot di sini, hari ini.

Reezal Merican yang juga Penyelaras Patriot seterusnya mempersoalkan kenapa Bersih tidak mahu mengadakan perhimpunan yang didakwa akan dilakukan secara aman itu di negeri-negeri yang diperintah pihak pembangkang.

Jelas beliau, ini terbukti bahawa Bersih bukanlah sebuah gerakan yang bersih sebaliknya ia bertopengkan pakatan pembangkang kerana Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin pernah menyatakan bahawa jika pembangkang tidak menumbangkan kerajaan melalui pilihan raya, mereka akan memilih jalan raya.

Ditanya adakan Patriot memilih untuk mengadakan perhimpunan secara aman, ‘‘kalau aman yang Bersih berikan, maka natijahnya amanlah,’’ katanya sambil menunjukkan lambang dan warna Patriot merah kuning kepada wartawan.

Beliau juga berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis bagi menyampaikan hasrat Patriot.

Sementara itu, Abdul Azeez memberi ingatan kepada Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga dan konco-konconya supaya jangan melakukan perhimpunan haram tersebut dan sekiranya masih berdegil, himpunan tersebut akan berhadapan dengan kumpulan majoriti senyap yang terbesar.

Beliau berkata, sekiranya kumpulan berkenaan mempunyai niat yang baik dan betul, mereka tidak perlu membawa sehingga 10,000 orang yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) seperti yang mereka pernah lakukan pada tahun 2007.

‘‘Saya minta mereka pergi ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menghantar memorandum kepada pengerusinya, manakala di Istana Negara pula, hantar kepada pegawai istana, setakat empat, lima orang sudah memadai.

‘‘Justeru, saya merayu kepada pihak polis supaya jangan tunggu lagi, sudah lebih 1,000 laporan polis dibuat bagi membantah himpunan berkenaan, dah sampai waktunya tangkap sahaja mereka,’’ ujar beliau.

1 comment:

  1. bukti dah jelas,semua keterangan dah cukup jelas lagi terang bersuluh,tapi yang menghairankan pihak polis tak ambil tindakkan pada ambabiga ni lagi,heran2..takkan nak tunggu nasi jadi bubur baru nak bertindak,kenapa polis takut sangat dengan ambiga,kami rakyat dari golongan senyap ni merasa amat-amat heran...kekadang terfikir gak,mungkin kita perlukan ketua polis sehebat Musa Hassan atau perdana menteri segagah TUN DR MAHATHIR untuk kes seperti ini...DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AGONG pun dah kuar titah,,,apa yang polis tunggu lagi...kita tangkap merekaaaaaaaaa ...

    ReplyDelete